Kisah kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan idola seluruh umat Islam sepanjang zaman, Nabi Muhammad Rasulullah SAW sering dititip dan dibicarakan dalam majlis kuliah dan tazkirah.
Apabila kita renung kembali kehidupan Baginda sejak lahir hingga wafat, Allah SWT menciptakan Muhammad sebagai seorang lelaki yang dipelihara iman dan akhlaknya.
Pada masa sama, keluarga kecil Baginda di Kota Makkah dikelilingi watak jahat, kufur dan penyembah berhala yang sentiasa mencari jalan menghancurkan usaha dakwah apabila Baginda dilantik menjadi rasul.
Wahyu mengarahkan Baginda Rasulullah SAW dan sahabat supaya terus bertahan dan bersabar dengan segala tindakan orang kafir Quraisy. Kesabaran yang dituntut hanya semata-mata meyakini lafaz 'La Ilaha Illallah,' bermaksud 'Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah.'
Read more: Cara Rasulullah berdakwah perlu dijadikan inspirasi
Dakwah Dengan Berhikmah
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Ayat di atas menyuruh Nabi dan pengikutnya mengajak manusia kepada agama Allah. Soalnya mengajak itu bagaimana? Ayat tersebut memberikan panduan dan prinsip:
Pertama dengan hikmah yang bererti المقالة المحكمة الصحيحة (perkataan berprinsip yang benar) iaitu dalil yang menerangkan kepada kebenaran, menghilangkan kesamaran.
Kedua dengan al-mauizah al-hasanah iaitu dengan menggemarkan atau beri motivasi dengan dapat pahala, syurga dan memberi amaran dengan dosa dan neraka, juga disebut targhib wa tarhib, sehingga tidak tersembunyi bahawa engkau menasihati mereka dan engkau bermaksud mahu memberi manfaat kepada mereka.
Juga dengan perkataan yang lembut, seperti firman Allah:
وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ
” Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.”
(ali-Imran: 159)
Memaknai hikmah dalam berdakwah
Kitab al-Quran yang merupakan kalam Allah telah menggariskan beberapa manhaj dakwah dengan sempurna dan jayanya. Dengan syarat, manhaj tersebut diguna pakai dalam konteks dakwah yang tepat dan bersasaran.
Meskipun dakwah tidaklah diukur kejayaannya berdasarkan bilangan ramai yang memeluk Islam, namun dakwah tanpa arah tujuan akan menjadikan kita sekadar hebat di mulut, megah di nama tapi hakikatnya kosong belaka.
Oleh itu, Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud :
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”