Kitab al-Quran yang merupakan kalam Allah telah menggariskan beberapa manhaj dakwah dengan sempurna dan jayanya. Dengan syarat, manhaj tersebut diguna pakai dalam konteks dakwah yang tepat dan bersasaran.

 

Meskipun dakwah tidaklah diukur kejayaannya berdasarkan bilangan ramai yang memeluk Islam, namun dakwah tanpa arah tujuan akan menjadikan kita sekadar hebat di mulut, megah di nama tapi hakikatnya kosong belaka.

 

Oleh itu, Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

 

Berdasarkan garis panduan dan metode di atas, baginda Nabi SAW telah menyebarkan dan menyampaikan dakwahnya secara tersusun dan memberi kesan semasa baginda berada di Mekah meskipun segelintir kecil sahaja dalam kalangan Quraisy yang menerima dakwah baginda Nabi SAW. Garis panduan tersebut antaranya adalah berdakwah melalui cara berhikmah. 

 

Dalam kitab Lisan al-‘Arab, menurut bahasa, perkataan al-hikmah berasal daripada pecahan kata hakama, yang pada asalnya penggunaan kata hakama ini merujuk kepada makna larangan, tegahan yang bertujuan menghalang sesuatu daripada meresap. Manakala dari sudut istilah pula, al-hikmah membawa maksud ilmu yang bersifat jitu, mantap, tepat, sahih dan bernas. 

 

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum ad-Din, perkataan hikmah ialah suatu keadaan jiwa atau nafsu yang dengannya sesuatu yang tepat dapat dibezakan berbanding sesuatu yang salah dalam seluruh perbuatan hamba yang dipilih sendiri. Sa’id Hawwa pula menyatakan hikmah ialah pendapat dan perkataan yang sahih dan jitu. 

 

Sayyid Qutb dalam membicarakan tentang soal hikmah dalam berdakwah ini, beliau menyatakan tiga perkara utama yang memerlukan pemerhatian dalam kita menggunakan kaedah hikmah dalam berdakwah.

 

Tiga perkara utama yang harus kita perhatikan ialah pertama, persekitaran sosial dan taraf kemasyarakatan, keduanya, laras bahan dan material dakwah yang akan disampaikan, dan ketiganya, pendekatan yang sesuai dan munasabah dengan kepelbagaian cara dan metode yang boleh membangkitkan semangat. 

 

Berhikmah dalam berdakwah bukanlah bermakna perlu berlemah-lembut, cakap perlahan-perlahan dan penuh sopan walaupun sebahagian perbuatan tersebut merupakan suatu tuntutan dalam Islam.

 

Hikmah yang perlu kita fahami ialah berhikmah dengan konteks keadaan, suasana dan sasaran yang tepat. Oleh kerana itu, berhikmah dalam konteks dakwah mempunyai perincian yang perlu kita kuasai dan fahami. 

 

Sebagai contoh, berhikmah dengan pelaksanaan hukum Islam seperti hudud, menjadi tuntutan kepada kita untuk berdakwah menyampaikan Islam terlebih dahulu, memberikan kefahaman, membuka ruang dialog dan mesti bersedia menerima pandangan yang berbeza.

 

Keadaan ini akan lebih berhikmah, tersusun berbanding kempen hukum Islam tanpa memberikan penjelasan yang akhirnya, boleh mengundang perasaan fobia terhadap Islam. 

 

Begitu juga berhikmah dalam keadaan memberikan keutamaan untuk beramal. Sebahagian orang Islam yang kaya dan dermawan, suka memberikan sumbangan membina masjid-masjid dengan begitu banyak.

 

Ia suatu yang terpuji. Namun, sekiranya kita melihat dari sudut keutamaan, ada lebih baiknya juga kita yang kaya-raya ini menyalurkan sumbangan kepada gerakan yang berdakwah menyebarkan Islam. 

 

Sepertimana yang telah disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitab beliau Fiqh al-Awlawiyyat: Dirasah Jadidah fi Daw’ al-Quran wa al-Sunnah, beliau menyatakan bahawa:

 

“Saya melihat ada orang Islam yang berhati mulia menderma wang untuk membina sebuah masjid dalam sebuah negeri yang penuh dengan masjid-masjid yang mungkin menelan belanja setengah atau jutaan dolar.”

 

“Akan  tetapi,  apabila ia diminta sumbangan sebesar itu, separuhnya  atau  seperempat  daripada   jumlah   itu   untuk mengembangkan   dakwah   Islam,   membanteras   kekufuran  dan kemusyrikan,  mendukung  kegiatan   Islam   untuk   menegakkan syariat  agama,  atau  kegiatan-kegiatan  lain  yang memiliki tujuan besar yang mungkin ada tokoh-tokohnya tetapi tidak mempunyai sumber kewangan, orang-orang  yang  memberi bantuan pembangunan  masjid  di  atas  hampir  seperti  orang pekak  dan  tidak  memberikan  reaksi  sama  sekali kerana mereka lebih percaya kepada membina bangunan daripada  membangunkan manusia.”

 

Demikian juga berhikmah dalam berpolitik dan membentuk negara. Berpolitik dan membentuk negara dengan berhikmah juga merupakan suatu ruang konteks dakwah yang boleh dipraktikkan. Meskipun sistem hari ini jauh daripada sistem khilafah, namun ini tidak bermakna kita menolak kesemuanya yang tidak islamik.

 

Desakan keadaan hari ini yang berubah menuntut kita agar bertindak memasuki sistem tersebut akan membuka ruang dakwah baharu, kita boleh membuktikan bagaimana Islam sangat toleransi, damai dan membawa mesej-mesej keharmonian tanpa memperjudikan prinsip Islam sebenar. 

 

Marilah kita kembali memahami makna al-hikmah dalam konteks dakwah yang pelbagai. Berdakwah bukan sahaja di kerusi-kerusi forum, di meja kuliah, di kaca televisyen, di Internet, bahkan di mana sahaja kita berada, di sebalik apa jua lapangan dan bidang yang kita ceburi.

 

Janganlah kita menghilangkan makna al-hikmah dalam diri kita. Semoga Allah meredai dan memberkati segala usaha baik kita selama ini menyebarkan Islam.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

https://ikram.org.my/dakwah-hikmah/